Thursday, September 1, 2011

Apakah suhu yang sesuai untuk air mandi bayi saya?



Pastikan air mandi itu suam selesa tetapi tidak panas sebelum memasukkan bayi anda ke dalamnya. Air yang dipanaskan sehingga 37 darjah C adalah paling sesuai.

Anda boleh membeli termometer untuk menentukan suhu air mandi itu. Setengah termometer direka bentuk sebagai mainan mandi bayi yang selamat dan menyeronokkan. Jika anda tiada termometer, letakkan siku anda ke dalam air untuk menguji sama ada ia terlalu panas atau terlalu sejuk.

Tuangkan air sejuk ke dalam besen dahulu, kemudian air panas. Ini akan mengurangkan risiko melecurkan bayi anda. Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda dalam besen atau tab semasa air paip sedang mengalir. Suhu air boleh berubah dengan pantas.

Jika anda menggunakan tab orang dewasa, tutupkan semua kepala paip. Ajar bayi anda supaya tidak menyentuh kepala paip dalam masa dia sedang membesar dan bertatih. Walaupun dia tak pandai membukakan paip sekarang, namun, tak lama lagi dia akan mempunyai cukup tenaga untuk membukanya, dan dia boleh melecurkan kulit sendiri.

Jika anda mempunyai kedua-dua kepala paip air panas dan sejuk, anda boleh memasang injap kepada kepala paip panas yang mencampurkan air. Ini akan mengawal suhu air supaya tidak terlalu panas apabila ianya keluar dari kepala paip. Kanak-kanak boleh melecur kulit darjah dua dan tiga dalam beberapa saat sahaja dia berendam dalam air yang terlalu panas.

Walaupun air mandinya mungkin suam, suhu badan bayi anda boleh menurun dengan pantas apabila anda keluarkannya dari air mandi, jadi pastikan bilik anda panas selesa. Apabila mengangkat bayi anda dari besen mandi, balutkan dia dengan tuala dan tutup kepalanya sebelum memakaikan lampinnya.

Lepas itu, balutkan bayi dalam tuala kering atau selimut sekali lagi, dan peluk dia selama 10 minit untuk memanaskan badannya. Apabila dia sudah memakai baju, balutkan dia dalam selimut yang kering dan suam.

No comments:

Post a Comment